Pengerusi PKR Perak cabar MB Selangor di Gombak

0
2
https://www.facebook.com/photo/?fbid=103597771167222&set=ecnf.100045509978518

PENGERUSI PKR Perak, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak mengesahkan akan mencabar Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Cabang Gombak pada pemilihan parti itu April nanti.

Pada masa sama, Farhash mahu menentang Ahli Parlimen Gombak yang juga bekas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Gombak Setia, Hilman Idham pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

FMT melaporkan, beliau berkata keputusan mencabar Amirudin bukan bertujuan melenyapkan sebarang “kartel Azmin” atau mencerminkan sebarang prasangka terhadap Amirudin.

“Tak ada kartel (lagi) dalam PKR, kalau ada pun saki-baki orang yang mungkin bersama Azmin. Tapi saya tak nampak Amirudin bersama Azmin, saya nampak dia jadi ‘party-man’ (orang parti),” katanya.

Mengulas lanjut, bekas Setiausaha Politik Datuk Seri Anwar Ibrahim itu berkata Amirudin tidak perlu curiga tentang hasratnya bertanding di Gombak pada pemilihan PKR.

“Saya tak nampak kenapa MB harus takut atau pasukan MB harus takut kerana mereka dah buat kerja di situ bertahun, dan saya ahli biasa,” katanya yang berpendapat ia adalah proses demokrasi.

Pada pemilihan PKR 2018, Amirudin menang sebagai Ketua Cabang Gombak menewaskan pencabarnya Mohamed Nizam Md Saad dengan 1,115 undi.

Sementara itu Farhash mengesahkan beliau telah meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik Anwar pada Disember lalu.

“Sudah dekat nak pemilihan, saya tak boleh bagi komitmen sepenuh masa sebagai Setiausaha Politik, jadi saya minta letak jawatan supaya saya boleh tumpu pada pemilihan dan persiapan PRU15,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here