ALASAN Umno memberi tumpuan kepada pengisian manifesto bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berbanding meletakkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai ‘Poster Boy’ membuktikan parti itu sudah buntu.
Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN) Johor, Mohd Solihin Badri, berkata ia kerana dua pemimpin tersebut tidak lagi mempunyai nilai yang boleh ditonjol serta diperjuangkan bagi menarik sokongan pengundi dalam PRN Johor.
“Tindakan itu turut menguatkan lagi andaian bahawa Umno tidak mahu mempertaruhkan nasib calonnya dalam PRN Johor bersandarkan poster Najib yang telah dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta atas kesalahan menyeleweng RN42 juta dana milik syarikat SRC International Sdn Bhd.
“Umno juga kini semakin bimbang penerimaan pengundi selepas reputasi Ahmad Zahid tercalar apabila diarahkan oleh Mahkamah Tinggi untuk membela diri atas 47 pertuduhan rasuah, pecah Amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi,” katanya dalam kenyataaan semalam.
Mohd Solihin berkata, kewibawaan Ahli Parlimen Bagan Datoh itu juga mereput kerana tidak dicalonkan sebagai Perdana Menteri, tahun lalu apabila secara tradisinya Presiden Umno menyandang jawatan tertinggi itu.
Jelasnya, dalam mana-mana kempen pilihan raya, ‘Poster Boy’ memainkan peranan penting sebagai jenama dan imej parti malah membawa nilai yang hendak diperjuangkan sesebuah parti.
Demikian itu, katanya ternyata tidak ada sebarang nilai yang hendak dibawa oleh Umno khususnya Najib dan Ahmad Zahid untuk rakyat Johor.
“Ataupun, Umno malu mempunyai kedua-dua pemimpin tersebut sehingga posternya pun tidak perlu diketengahkan dalam PRN Johor?
“Kalau Umno takut hendak meletakkan Najib dan Ahmad Zahid sebagai ‘Poster Boy’, apakah lagi medium akan digunakan oleh parti itu untuk mengeketengahkan pemimpinnya?,” katanya lagi.
Sementara itu, beliau menjelaskan dalam konteks Bersatu, Presidennya iaitu Tan Sri Muhyiddin Yassin membawa nilai yang diakui iaitu integriti, kejujuran, anti-rasuah, prihatin rakyat serta menampilkan sebuah kerajaan lebih bersih bagi mentadbir urus negara.
“Inilah nilai-nilai yang Bersatu tawarkan kepada rakyat Johor,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid dalam hantaran Facebook, menegaskan rakyat adalah ‘Poster Boy’ bagi Barisan Nasional (BN) untuk menghadapi pilihan raya.
Pengerusi BN itu berkata, ia kerana BN adalah sebuah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat dan berjuang untuk semua lapisan masyarakat. – Malaysiapost

