RAKYAT adalah “poster boy” bagi BN untuk menghadapi pilihan raya, kata Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi
Ini kerana BN adalah sebuah parti yang bertunjangkan kepentingan rakyat dan berjuang untuk semua lapisan masyarakat.
“BN adalah parti rakyat. ‘Poster boy’ sebenar BN adalah rakyat. BN bukan mewakili sesiapa.
“BN adalah dari semua untuk semua,” tulis Ahmad Zahid dalam satu hantaran di Facebooknya, hari ini.
Sebelum itu, Ketua Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mencabar Umno, BN supaya menggunakan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sebagai “poster boy” bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Cabaran itu dilontarkan pada ceramah ceramah penerangan isu semasa di Johor, Khamis lalu.
Untuk rekod Bersatu menggunakan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai “poster boy” pada PRN Melaka, Nov tahun lalu.
Bagaimanapun Bersatu yang bertanding menggunakan logo Perikatan Nasional (PN) pada PRN Melaka hanya berjaya memenangi dua kerusi dalam PRN Melaka.
Dalam pada itu, Najib melabelkan Wan Saiful sebagai bebal apabila meminta BN menggunakannya sebagai “poster boy”.
Katanya, sudah tentu BN akan menggunakan calon Menteri Besar sebagai “poster boy” memandangkan ia adalah PRN.- Malaysiapost

