Dr M: Najib punca negara berhutang RM1 trilion

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini mendakwa pemerintahan Datuk Seri Najib Razak menjadi punca negara kini berhutang melebihi RM1 trilion ringgit.

Menerusi kenyataan di blognya, http://chedet.cc/, Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) itu berkata malah masih ada tuduhan Ahli Parlimen Pekan telah menyeleweng dana berbilion ringgit yang dibawa lari daripada 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Menurut Ahli Parlimen Langkawi itu, Najib juga memperoleh RM150 juta dirampas daripada Pavilion Residences pada 2018 dipercayai milik 1MDB namun dikembalikan semula kepadanya.

“Tetapi mahkamah buat keputusan untuk beri balik kepada Najib wang ini dan lain-lain barang kerana orang ramai diberitahu kerajaan tidak dapat bukti yang duit ini duit 1MDB, iaitu duit Kerajaan,” katanya hari ini.

Dr Mahathir mendakwa walaupun Najib memiliki berbilion namun beliau masih memohon untuk dihadiahkan tanah dan rumah bernilai RM100 juta yang lokasinya dipilih Najib.

“Selain dari membeban kerajaan sekarang dan akan datang dengan hutang berbillion ringgit apakah dilakukan Najib yang melayakkannya diberi hadiah RM100 juta.

“Perdana Menteri lain tidak diberi hadiah oleh kerajaan sebanyak ini. Hingga sekarang kerajaan belum batal keputusan Kabinet untuk memberi hadiah ini. Najib kononnya tolak tetapi ia tetap akan terima akhirnya.

“Sesuatu yang sudah hilang di Malaysia ialah perasaan malu. Najib tidak malu dan ramai penyokongnya tidak malu apabila disogok, apabila didapati bersalah. Nilai hidup yang hodoh ini jelas ternampak apabila penyokong Najib berkata, “Apa perlu malu, (Najib) boss kita.” Dengan itu diciumlah tangan Najib, pencuri Melayu Islam,” katanya.

Mahathir dalam tulisannya yang pertama pada tahun ini turut mendakwa Najib sering cuba mengalih perhatian dari kesalahannya menyalahguna kuasa dengan menuduhnya berbuat perkara sama sebagai Perdana Menteri.

“Semasa dia menjadi Perdana Menteri satu Royal Commission of Inquiry (RCI) ditubuh untuk menyiasat kononnya saya sembunyi kehilangan RM30 bilion oleh Bank Negara.

“Tetapi RCI tidak dapat bukti yang saya sembunyi kehilangan ini. Bank Negara tidak dikehendaki lapor kepada saya akaun Bank Negara. Adalah mustahil bank melapor kehilangan RM30 billion dan meminta saya rahsiakan kehilangan ini.

“Akaun Bank Negara diaudit dan audit tentu dapat kesan yang bank telah sembunyi kehilangan ini jika benar dan akan lapor. Jika tidak pihak audit tentu bersalah jika tidak melapor kehilangan ini,” katanya.-Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here