PARTI Keadilan Rakyat (PKR) Johor mungkin mengikut jejak langkah sekutunya, DAP untuk mengumumkan satu persatu calonnya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Pengerusinya Syed Ibrahim Syed Noh berkata langkah itu bagi membolehkan calonnya membuat persiapan awal, bagaimanapun perkara itu akan diputuskan pucuk pimpinan parti.
“Kami sedia menggunakan strategi sama seperti DAP iaitu mengumumkan calon satu demi satu, bermula dengan kerusi yang sudah disahkan,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
“Ia bergantung kepada keputusan pucuk pimpinan parti tetapi saya percaya ini antara jalan terbaik kerana akan memberi masa calon membuat persiapan awal,” katanya.
Setakat ini, DAP sudah mengumumkan empat calon iaitu Ee Chin Li (Tangkak), Sheikh Umar Bagharib Ali (Paloh), Chew Chong Sin (Mengkibol) dan Gan Peck Cheng (Penggaram) yang akan mempertahankan kerusi masing-masing.
PKR dan Parti Amanah Negara (AMANAH) dijangka bertanding 20 kerusi, manakala DAP pula 16 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, nanti.
PKR akan menggunakan logo parti itu, bagaimanapun DAP dan AMANAH kekal menggunakan logo Pakatan Harapan (PH).-Malaysiapost
Kredit Foto: Facebook

