KETUA Penerangan Bersatu, Datuk Wan Saiful Wan Jan mendakwa dihubungi beberapa pemimpin daripada kumpulan ‘Umno soleh’ menyatakan mereka sedang menyusun strategi untuk membetulkan Umno dari landasan yang salah.
Wan Saiful berkata, beliau mengiktiraf kewujudan kumpulan yang baik itu dalam Umno dan mengakui mereka mempunyai sikap berbeza daripada kluster mahkamah.
“Saya tak tahu apa nak panggil golongan ini. Kita katalah mereka ini “Umno soleh”.
“Ada beberapa tokoh “Umno soleh” hubungi saya menyatakan bahawa mereka sedang menyusun strategi untuk membetulkan Umno dari landasan yang salah.
“Jadi mereka cadangkan saya tidak menyerang Umno sebab mereka sedang buat kerja dari dalam,” dakwanya menerusi satu hantaran di Facebooknya hari ini.
Bagaimanapun Wan Saiful berkata, apa yang menjadi masalah apabila “Umno soleh” itu diam membisu membenarkan kluster mahkamah menunggang Umno untuk melanggar semua orang lain.
“Mereka ini perlu berlaku adil. Kenapa pula meminta supaya orang lain berhenti menyerang Umno, sedangkan apabila penyokong kluster mahkamah dalam Umno bersikap biadap terhadap terhadap kami mereka tidak menegur kebiadapan itu?
“Jangan tegur orang lain saja, tapi tegurlah orang dalam Umno itu juga,” katanya. – Malaysiapost

