BERSATU Pengerang meminta parti-parti pembangkang agar memberi laluan kepada Perikatan Nasional (PN) untuk berdepan Barisan Nasional (BN) di dua kerusi dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dua kerusi tersebut ialah Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar dan Tanjung Surat yang terletak di bawah Parlimen Pengerang.
Menurut Ketua Bersatu Bahagian Pengerang, Mohd Faizal Asmar, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, kedua-dun DUN itu ditandingi calon PKR namun kalah teruk kepada calon BN.
Katanya, kekalahan tersebut menunjukkan parti-parti pembangkang masih belum diterima oleh masyarakat Melayu di luar bandar.
“Oleh yang demikian kami berharap agar parti-parti ini mengambil sikap memberi laluan kepada PN untuk berlawan dengan BN.
“Dengan kekuatan pasukan kami yang telah disiapkan sejak Ogos 2020 serta penerimaan pengundi Melayu, kami amat yakin dapat memberi saingan sengit kepada BN.
“Tambahan pula, semasa Tan Sri Muhyiddin menjadi Perdana Menteri, beliau telah pun berjaya membayar hutang-hutang peneroka Felda. Hasil kajian kami, mereka sangat terhutang budi kepada mantan Perdana Menteri itu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta parti-parti tersebut berlapang dada untuk memberi laluan untuk PN bagi memberi saingan sengit kepada BN.
Pada PRU14 lalu, DUN Penawar dimenangi BN menerusi Datuk Sharifah Azizah Alshahab menewaskan calon PKR, Ahmad Kamah Nor dengan majoriti 7,134 undi.
Di DUN Tanjung Surat pula, Datuk Syed Sis A Rahman mengatasi calon PKR, Zamil Najwah Arbain dengan majoriti 4,522 undi. – Malaysiapost

