COVID-19| Selepas Kuching diletakkan sebagai zon merah, kerajaan negeri Sarawak akan melaksanakan kawalan pergerakan antara daerah bagi mengekang penularan wabak itu.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata keputusan itu dicapai melalui mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dipengerusikan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Abang Openg.
Susulan itu, jumlah penerbangan masuk dan keluar dari Sarawak serta tempoh operasi perniagaan juga akan dikurangkan.
“Beberapa tindakan segera harus diambil sebagai langkah mengawal penularan COVID-19 di Sarawak,” katanya dalam satu kenyataan, petang tadi.

Uggah berkata, JPBN Sarawak juga memutuskan bahawa semua warga Malaysia yang datang dari Semenanjung, Sabah dan Labuan akan dikuarantin di hotel.
Jelasnya, sampel akan diambil pada hari kedua dan sekiranya keputusan ujian PCR Covid-19 adalah negatif, mereka dibenarkan balik.
“Arahan ini berkuat kuasa 1 hingga 14 Ogos ini. Bagi rakyat Sarawak yang balik dari luar negara, arahan adalah sama seperti yang diumumkan sebelum ini, iaitu wajib menjalani kuarantin di destinasi terakhir selama 14 hari,” katanya.
Uggah yang juga Pengerusi JPBN Sarawak berkata, dalam usaha mengekang penularan COVID-19 terutama di kawasan panas Kota Sentosa, Kementerian Kesihatan akan meningkatkan pelaksanaan penjejakan kontak atau pengesanan kes aktif (ACD) di kawasan sempadan daerah Kuching dan Samarahan itu.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, Sarawak mencatatkan satu lagi kes kematian akibat COVID-19, hari ini.
Sebelum itu, media melaporkan Hospital Sentosa di Kota Sentosa di Kuching ditutup kerana semua petugas dikuarantin selepas sebahagian besar dijangkiti Covid-19.
Langkah itu susulan 16 kakitangan hospital berkenaan diuji positif COVID-19 sehingga semalam.
Katanya, mereka antara 643 individu yang menjalani ujian calitan selepas hospital itu diisytiharkan sebagai satu kluster Covid-19 di negeri ini.
Berikutan arahan kuarantin itu, kesemua kakitangan hospital tidak dibenarkan balik ke rumah dalam tempoh 14 hari.

