BARISAN Nasional (BN) menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya lima daripada lapan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingkan di empat bahagian Parlimen di zon Johor Barat.
Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata ia melibatkan kerusi-kerusi di Parlimen Pulai, Iskandar Puteri, Pontian dan Tanjung Piai.
“Terdapat lapan kerusi DUN di empat bahagian Parlimen iaitu Pulai, Iskandar Puteri, Pontian dan Tanjung Piai yang terletak di dalam zon Johor barat. Maka saya meletakkan sasaran untuk menang lima daripada lapan kerusi DUN.
“Tetapi jika menang lapan, kita akan berpesta besar. Bagaimanapun saya ingatkan jentera PRN tidak boleh terlalu selesa kerana cara Johor tidak sama dengan PRN Melaka,” katanya seperti dilaporkan Sinar Harian.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Jentera PRN Johor Wilayah Barat di Iskandar Puteri malam tadi.
Sementara itu Mohamad berkata BN dan Umno tidak akan terkubur di Johor dalam PRN tidak lama lagi, meskipun ramai pihak terutama parti lawan mahu melihat ia berlaku.
Sehubungan itu beliau mengingatkan jentera BN bekerja keras melaksanakan kempen bagi memastikan parti itu terus kukuh kerana Johor adalah benteng utama Umno.
“Ramai hendak lihat Umno dan BN terkubur di Johor. Disebabkan itu banyak parti politik menyatakan keinginan untuk bertanding pada PRN kali ini.
“Keinginan ini tidak akan tercapai di negeri tempat lahirnya Umno. Jentera PRN Johor akan kerja keras termasuk adakan mesyuarat setiap malam di ‘Command Centre’ BN untuk lihat gerak kerja setiap hari,” katanya. – Malaysiapost

