Ebit, Uncle Kentang berhasrat bekerjasama dalam misi bantuan

0
2

PENDAKWAH bebas, Ebit Lew menzahirkan rasa bahagia apabila dapat bertemu dengan rakan seperjuangan iaitu aktivis masyarakat Kuan Chee Heng atau dikenali sebagai Uncle Kentang, hari ini.

Ebit dalam hantaran di laman Facebook memaklumkan, Uncle Kentang berkunjung ke rumahnya untuk beraya sempena Tahun Baharu Cina.

“Bahagianya rasa dapat jumpa Uncle Kentang Kuan Chee Heng. Seorang yang amat saya hormati dan sayangi. Dah lama nak jumpa beliau. Kagum dan sentiasa mengikuti beliau di FB. Banyak saya belajar darinya,” katanya dalam hantaran itu hari ini.

Pengasas cawangan Elewsmart itu juga berkongsi kisah di mana ketika sampai di rumahnya, Uncle Kentang sedang dalam urusan membantu seorang warga emas yang terlantar di rumah keseorangan.

“Kena mandikan dan ambil dengan ambulans. Beliau ada berpuluh ambulans dan van jenazah untuk khidmat masyarakat. Ada rumah jagaan orang tua. Entah berapa ramai keluarga dalam tanggungannya sekarang,” ujar Ebit.

Menurutnya, beliau mengagumi peribadi Uncle Kentang yang merendah diri dan belajar banyak perkara daripada aktivis tersebut.

Ebit berkata, beliau dan Uncle Kentang berhasrat untuk bekerjasama dalam usaha melebarkan lagi misi bantuan yang sedang dijalankan.

“Ketika umur dah 60-an tapi masih kuat membantu. Katanya nanti Allah tanya kita apa kita buat saat kita boleh membantu tapi tidak membantu. Kita buat sebaiknya di dunia ini.

“Syukur sangat. Rezeki saya hari ini berjumpa dengan orang mulia baik dan hebat. Tak terbalas jasa dan pengorbanannya,” katanya.

Semalam, Ebit dalam hantaran Facebook turut berkongsi gambarnya beraya di rumah Youtuber terkenal berbangsa Tiong Hua, yang mesra disapa Boss James. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here