MENTERI Alam Sekitar dan Air, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man mengarahkan Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor mengambil tindakan segera terhadap aktiviti pembakaran sampah di Setia Alam, Shah Alam.
Menerusi hantaran di Facebook, Tuan Ibrahim menggesa Pengarah JAS Selangor mengambil tindakan pro aktif terhadap pembakaran sampah plastik yang mengganggu kehidupan penduduk di kawasan perumahan Setia Alam.
“Dua hari lalu, saya telah di’tagged’ oleh rakan netizen mengenai aduan pembakaran sampah plastik di kawasan pelupusan sampah dan ladang kelapa sawit di FB PEKA.

“Saya telah majukan aduan tersebut kepada KP JAS. Pembakaran sampah tersebut telah mencemar udara dan kacau ganggu kepada penduduk di kawasan Setia Alam. Jarak antara kawasan residen dengan tapak pelupusan haram tersebut lebih kurang 1.09 km,” katanya.
Mengulas lanjut, Tuan Ibrahim menjelaskan, sampah yang terdapat di tapak pelupusan tersebut adalah terdiri daripada buangan domestik.
“Tapak tidak berpagar dan tiada Papan Tanda atau Notis Larangan Pencerobohan ke atas tanah milik.
“Siasatan menggunakan dron juga mendapati lebih kurang 100 buah penempatan haram warga asing yang terletak kurang 100 meter dari tapak pelupusan sampah haram. Mungkin menjadi punca pembuangan sampah haram,” katanya.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak pengadu, kes akan disiasat di bawah Seksyen 29A AKAS 1974 serta pasti pemilik tanah berkenaan sedang dikenal pasti.
“Kes juga dirujuk kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) untuk diambil tindakan di bawah bidangkuasa jabatan tersebut. Terima kasih pihak pengadu & JAS Selangor,” katanya.
Terdahulu, penduduk di sekitar Setia Alam mengeluh di media sosial kerana terpaksa menghidu asap pembakaran sampah di kawasan berkenaan sejak seminggu lalu. – Malaysiapost

