Lokman belum terima surat saman KJ

0
2
Datuk Lokman Adam

BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Datuk Lokman Noor Adam memaklumkan beliau masih belum menerima sebarang tuntutan saman daripada Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin berhubung isu program vaksinasi Covid-19 kerajaan.

Lokman juga mengakui tidak menerima apa-apa dokumen atau tuntutan yang memintanya untuk memadam dakwaan yang dilakukannya sebelum ini.

“Saya belum terima (tuntutan saman) apa-apa lagi,” katanya dalam video di Facebooknya, malam tadi.

Semalam, Khairy telah memfailkan saman fitnah terhadap Lokman dan seorang penceramah bebas, Mohd Rasyiq Mohd Alwi atau Abu Syafiq di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 25 Januari lalu.

Difahamkan, saman itu difailkan melalui tetuan Rashid Zulkifli selepas defendan enggan mematuhi tuntutan Khairy, antaranya supaya dakwaan-dakwaan mereka dipadam pada 16 Januari lalu.

Khairy menuntut ganti rugi am, ganti rugi teladan dan ganti rugi teruk serta perintah supaya status dipertikaikan dipadam serta permohonan maaf di media sosial dan beberapa portal berita.

Dalam pada itu, Lokman berkata, memandangkan tiada sebarang dokumen yang diterima daripada pihak Khairy, beliau masih tidak mengetahui dengan jelas mengenai isu sebenar yang dibangkitkan dalam isu saman tersebut.

Pada masa sama, Lokman berkata, beliau bersedia untuk menjawab sebarang persoalan berbangkit sekiranya kes tersebut dibawa ke mahkamah. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here