3 pengikut ajaran batin, kebal ‘Wali Tujuh’ ditahan

0
2

TIGA pengikut ‘Wali Tujuh’ yang disyaki membawa ajaran batin dan kebal ditahan Pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) dalam serbuan di sebuah rumah pekerja di Ladang Bukit Keram, Kinabatangan, semalam.

Ketiga-tiga lelaki terbabit adalah pendatang asing tanpa izin (PATI) dan ditahan untuk siasatan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kinabatangan kerana disyaki terbabit dengan ajaran meragukan.

Komander ESSCOM Deputi Komisioner Hamzah Ahmad, berkata beberapa barang peribadi milik seorang daripada individu terbabit iaitu pisau, senjata jenis lastik dan pelbagai jenis tangkal turut dirampas.

Menurutnya, berdasarkan risikan awal didapati kumpulan terbabit diketuai oleh seorang guru dengan dibantu dua individu.

“Kumpulan ini mula bergiat aktif sejak tiga bulan lalu dengan membawa ajaran ilmu batin dan kebal serta didapati berkembang dengan pantas.

“Kumpulan ajaran ini juga menarik minat penyertaan pekerja ladang khususnya warga asing di sekitar Lahad Datu dan Kinabatangan. Ketika ini kumpulan terbabit dipercayai ada 20 pengikut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hamzah berkata, sehubungan itu orang ramai diingatkan agar tidak terpengaruh dengan ajaran atau dakyah baharu yang boleh menimbulkan ketidakharmonian dalam kalangan masyarakat setempat.

Tambahnya, tindakan tegas tanpa kompromi akan diambil terhadap mana-mana individu dan kumpulan yang sengaja mengganggu gugat ketenteraman awam dan keselamatan di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here