Enjin kereta api terbakar di Pasir Mas

0
2

SERAMAI 180 penumpang Tren Ekspres Rakyat Timuran No. 27 yang terkandas selepas bahagian enjin kereta api itu terbakar di Kilometer 490.50 – 491 antara Pasir Mas dan Tanah Merah, kembali meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing pagi tadi.

Ketua Pegawai Operasi Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) Mohd Zain Mat Taha, berkata kesemua penumpang tren itu kembali meneruskan perjalanan pada jam 2.46 pagi.

“Lokomotif yang membawa seramai 180 penumpang itu dalam perjalanan dari Stesen Tumpat ke Kempas Baru, Johor Bahru.

“Kebakaran itu hanya membabitkan bahagian enjin lokomotif dan tidak merebak ke gerabak penumpang,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Zain berkata, kesemua penumpang berjaya dikeluarkan ke tempat selamat hasil bantuan kakitangan dan anggota Polis Bantuan KTMB.

Beliau berkata, kebakaran enjin itu dapat dipadamkan jam 12.20 tengah malam hasil tindakan pantas pasukan bomba dari Pasir Mas dan Tanah Merah sejurus menerima laporan manakala punca kebakaran masih dalam siasatan.

Katanya, KTMB terus memperbaiki setiap kelemahan yang ada bagi memberi khidmat terbaik kepada pelanggan selain berharap insiden sebegitu tidak berulang lagi.

Orang ramai boleh melayari saluran media sosial KTMB atau hubungi Pusat Panggilan KTMB di talian 03-2267 1200.

Terdahulu, tular di media sosial kejadian kebakaran berkenaan yang memaksa semua penumpang keluar daripada keretapi berkenaan, tengah malam tadi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here