SEORANG wanita maut selepas kereta dipandunya terbabas selepas melanggar seekor kerbau di Jalan Perindustrian Pengkalan 2 di Batu Gajah, Perak, tengah malam tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1.05 pagi itu, Lee Chiew Li, 37, meninggal dunia di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.
Ketua Polis Daerah Batu Gajah, Asisten Komisioner Mohamad Roy Suhaimi Sarif, berkata siasatan awal mendapati mangsa yang memandu kereta jenis Proton Persona dalam perjalanan pulang dari Pusing ke rumahnya di Kampung Muhibbah Fasa 1, Sungai Siput.
“Apabila sampai di tempat kejadian, kereta mangsa dipercayai hilang kawalan selepas terlanggar kerbau yang melintas.
“Kereta mangsa telah terbabas masuk ke gaung sebelah kiri jalan dan mangsa mengalami kecederaan parah di kepala,” katanya seperti dilapor Sinar Harian.
Menurutnya, mayat mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Forensik, Hospital Batu Gajah untuk bedah siasat.
Katanya, siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. – Malaysiapost

