[Sudut Pandang] DALAM usaha memastikan rakyat Sabah mengundi Warisan Plus dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah pada 26 September ini, pelbagai cara telah digunakan pemimpin tertentu untuk menimbulkan kebencian rakyat Sabah terhadap Kerajaan Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng, umpamanya memainkan isu pembatalan projek khas bernilai RM10.68 juta yang beliau luluskan selaku Menteri Kewangan untuk rakyat di Sandakan oleh Kerajaan PN.
Tuduh Lim Guan Eng: “Pembatalan projek khas untuk rakyat di Sandakan oleh Kerajaan PN adalah tindakan balas dendam politik yang jelas terhadap kerajaan negeri WARISAN Plus yang diketuai oleh Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.”
Yang paling dijadikan isu oleh Lim Guan Eng ialah pembatalan “peruntukan RM1 juta untuk memperbaiki rumah orang cacat penglihatan” yang didakwa menjadi bukti betapa “Kerajaan PN jelas buta hati terhadap tanggungjawabnya kepada rakyat Sabah.”
Tentulah pembatalan projek khas bernilai RM10.68 juta yang Lim Guan Eng luluskan untuk rakyat di Sandakan ini mempunyai sebab-sebab yang konkrit dan bukannya merupakan tindakan balas dendam politik untuk memangsakan rakyat Sabah.
Apa yang jelas, makluman dari pihak berkuasa menunjukkan bahawa pembatalan projek khas ini bukanlah muktamad tetapi hanyalah untuk membolehkan siasatan dijalankan di tapak-tapak projek terhadap keperluan dan kebolehlaksanaan lima projek ini.
Adalah difahamkan bahawa peruntukan untuk kelima-lima projek ini telah diluluskan oleh Lim Guan Eng selaku Menteri Kewangan pada ketika itu tanpa melalui proses siasatan yang sewajarnya terhadap keperluan dan kebolehlaksanaan projek (due diligence).
Paling menonjol mengenai ketiadaan due diligence ini adalah kelulusan terhadap permohonan peruntukan berjumlah RM1 juta oleh Ahli Parlimen P186 Sandakan bagi membiayai projek membaikpulih Asrama Taman Cahaya (“rumah orang cacat penglihatan”) di Sandakan.
Kelulusan terhadap permohonan ini telah Lim Guan Eng beri pada 25 November 2019, diikuti oleh persetujuan terhadap permintaan Ahli Parlimen P186 Sandakan supaya projek ini diberikan secara direct nego kepada syarikat Epic Communities Sdn Bhd.
Apakah amalan memberikan projek secara direct nego dengan menyalurkan terus peruntukan kepada syarikat tertentu tanpa sebarang “terms and conditions” adalah amalan tadbir urus baik yang selari dengan prinsip Competency, Accountability and Transparency (CAT)?
Dr Kamarul Zaman Haji Yusoff,
Pensyarah Kanan COLGIS, UUM
(Artikel ini adalah pandangan penulis dan disiarkan tanpa suntingan)

