BEKAS Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri menjelaskan istilah ‘payung emas’ jika wanita membenarkan suaminya berpoligami yang dikatakan sunnah Rasulullah SAW adalah hadis palsu.
Menurutnya, hukum atas sesuatu perkara berdasarkan zahir ia sunnah atau tidak perlu melihat kepada maslahat perkara itu.
“Begitu juga dengan poligami. Terkadang ia menjadi perlu dan terkadang tidak perlu bahkan boleh jadi menzalimi.
“Hukum poligami itu sendiri boleh jadi harus, sunat dan haram. Tidak menjadi kesalahan bagi isteri untuk mempertikaikan keputusan suaminya untuk berpoligami dengan melarangnya atas sebab keperluan.
“Berbincang dengan baik, beri nasihat dan pandangan demi mengelakkan berlakunya kezaliman dan penindasan terhadap hak isteri dan anak-anak,” katanya dalam ciapan Twitter.
Beliau berkata demikian bagi menjawab pertanyaan seorang wanita mengenai dakwaan isteri akan ke neraka kerana menentang poligami yang dikatakan sunnah Rasulullah.
Zulkifli berkata, sikap sebagai Muslim adalah tidak menentang sebarang syariat Allah SWT dalam keadaan tertentu mengikut keperluan yang sudah pasti ada hikmahnya.
Bagaimanapun, katanya, sikap menggunakan agama untuk kepentingan individu sehingga mengabaikan hak-hak lain seharusnya ditolak. – Malaysiapost

