Lupakan kejayaan besar di Melaka – Tok Mat

0
3

JENTERA Barisan Nasional (BN) tidak boleh terus bergantung dengan sentimen kejayaan besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November lalu dalam usaha menawan PRN Johor nanti.

Pengarah Pilihan Raya BN, Datuk Seri Mohamad Hasan menegaskan, setiap pilihan raya umum (PRU), pilihan raya kecil (PRK) atau PRN memerlukan strategi sendiri untuk dibincangkan dengan parti komponen.

“PRN ini tidak semudah apa yang disangka. Saya tidak mahu jentera BN ambil mudah kerana terbawa-bawa dengan sentimen menang selesa di Melaka, maka kita akan menang selesa di Johor.

“Salah kalau kita anggap begitu,” katanya kepada media ketika ditemui selepas rumah terbuka Tahun Baru Cina tahunan MCA di Kuala Lumpur, lapor Malaysiakini, hari ini.

Mohamad berkata, strategi yang dimaksudkan adalah termasuk pembahagian kerusi atau calon di kalangan parti gabungan yang akan bertanding dalam pilihan raya.

“Setiap PRK, negeri dan pilihan raya umum adalah berbeza, jadi kita perlu mengatur strategi.

“Ini termasuk pembahagian kerusi dalam kalangan komponen BN,” kata Timbalan Presiden Umno itu.

Setakat ini BN yang mengesahkan akan bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor masih belum memutuskan tentang calon atau pembahagian kerusi bagi PRN Johor.

Sementara itu, Mohamad mengulangi pendirian Umno bahawa kerajaan Johor tidak boleh terus berfungsi dalam keadaan ‘terancam’ dengan hanya satu majoriti di DUN, selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kempas, Datuk Osman Sapian meninggal dunia.

“Kita tidak mahu kerajaan yang sentiasa diancam, ada orang nak tekan butang.

“Bukan kita yang nak tekan butang, ada yang nak tekan butang. Tapi bila kami tekan butang, orang itu marah,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here