Harga maksimum runcit ayam turun 20 sen

0
2
Tinjauan Malaysiapost berkaitan harga ayam di Pasar Seksyen 6 Shah Alam hari ini.

HARGA maksimum runcit bagi ayam standard dikurangkan 20 sen daripada harga siling yang ditetapkan sekarang menjadi RM8.90, manakala harga telur ayam semua gred kekal seperti harga kawalan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) semasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata pelaksanaan kedua-dua harga tersebut bermula 5 Februari sehingga 5 Jun depan.

“Kerajaan akan memberikan subsidi bagi memastikan harga barangan dapat dikawal seperti SHMKM.

“Perincian subsidi ini akan dilakukan oleh Pasukan Khas Mengenai Kos Sara Hidup Negara yang akan diketuai oleh Kementerian Pertanian dan Industri Makanan serta beberapa kementerian, wakil syarikat berkaitan kerajaan (GLC) dan persatuan pengguna sehingga harga kembali stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Hari ini, Ismail Sabri mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) mengenai Industri Pengeluaran Makanan bagi membincangkan isu bekalan dan pengeluaran makanan terutamanya bagi ayam dan telur ayam.

Sebanyak empat kertas telah dibentangkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Kementerian Pertanian dan Asas Tani serta Kementerian Pengangkutan dalam mesyuarat ini.

Turut hadir Gabungan Persatuan-persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) dan Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP).

Sementara itu, Ismail Sabri menjelaskan permit import ayam bulat dibuka kepada semua pemegang Permit Kelulusan (AP) bagi mengimport ayam, berbanding sebelum ini mereka hanya dibenarkan mengimport keratan ayam seperti kepak, paha dan lain-lain.

“Mesyuarat juga bersetuju AP mengimport ayam dibuka kepada pengusaha pasar raya besar (hypermarket).

“Mesyuarat mengarahkan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) membuat siasatan sekiranya wujud kartel dalam pakatan menentukan harga ayam dan telur,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata pelaksanaan Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM) yang melibatkan 222 Parlimen perlu dilaksanakan secara maksimum bagi membantu Keluarga Malaysia mendapatkan barangan asas pada harga lebih murah.

Jelasnya, pelaksanaan Kedai Harga Patut perlu diaktifkan semula di seluruh negara serta menambah kekerapan operasi pasar tani di satu-satu kawasan.

“Mesyuarat turut meminta Kementerian Kewangan mengkaji insentif cukai untuk transformasi ladang ternakan ayam.

“Permohonan pengambilan pekerja asing daripada Bangladesh telah dibuka secara berperingkat mulai 28 Januari 2022,” ujarnya.

Tambah beliau, koperasi yang terlibat dalam industri pertanian akan turut dilibatkan untuk menawarkan barangan asas tanpa melibatkan orang tengah untuk mengawal harga. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here