POLIS sedang meneliti video tular di media sosial memaparkan aktiviti riadah sekumpulan pengunjung di sebuah taman tema air di Ipoh, Perak yang disyaki melanggar prosedur operasi standard (SOP) Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN).
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan, berkata semakan pihaknya mendapati kejadian itu berlaku antara jam 1 hingga 6 petang Sabtu lalu.
“Menurut pihak pengurusan taman tema berkenaan, kapasiti kolam boleh memuatkan seramai 500 orang dan ketika kejadian jumlah tersebut tidak mencapai 50 peratus.
“Polis sedang meneliti fakta-fakta dan individu yang terlibat untuk mengenalpasti sama ada terdapat sebarang ketidakpatuhan SOP tersebut oleh mana-mana pihak,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati orang ramai untuk tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara itu yang boleh menjejaskan siasatan polis.
“Orang ramai dinasihatkan tidak membuat spekulasi mengenai video tersebut yang boleh menjejaskan enkuiri pihak polis,” katanya. – Malaysiapost

