KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berharap rakyat dapat terus menunaikan tanggungjawab memutuskan rantaian pandemik Covid-19 walaupun ketika cuti musim perayaan.
Beliau berkata, walaupun banyak kelonggaran diberikan kerajaan untuk membolehkan rakyat menikmati suasana normal dalam norma baharu bagi sambutan perayaan kali ini, aspek keselamatan jangan dilupakan.
“Sambutan perayaan Tahun Baharu Cina merupakan sebahagian daripada keunikan kebudayaan Malaysia yang mencerminkan keutuhan perpaduan, sikap toleransi serta apresiasi kepada kepelbagaian yang berakar umbi dalam sanubari rakyat di negara ini.
“Saya yakin, kemeriahan sambutan Tahun Baharu Cina kali ini jelas dirasai dan disyukuri oleh masyarakat Tionghua, bermula dengan tradisi makan besar keluarga (family reunion dinner), setelah sekian lama ia diraikan mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) dan protokol kesihatan yang ketat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Perutusan Khas Ketua Polis Negara sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022, hari ini.
Dalam pada itu, Acryl Sani turut menasihati orang ramai supaya mengambil langkah keselamatan sebelum pulang ke kampung sempena cuti musim perayaan berkenaan.
“Bagi mereka yang merancang untuk pulang ke kampung sempena cuti perayaan ini, pastikan langkah-langkah keselamatan diberi perhatian yang sewajarnya, agar kediaman ditinggalkan dalam keadaan selamat.
“Di kesempatan ini, saya dan seisi keluarga ingin mengucapkan Selamat Tahun Baharu Cina kepada seluruh warga Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan rakyat Malaysia berketurunan Tionghoa yang meraikannya.
“Memandulah dengan berhemah dan patuhi peraturan keselamatan jalan raya yang ditetapkan, agar selamat sampai ke destinasi yang dituju. ‘Gong Xi Fa Cai, Xin Nian Kuai Le’,” katanya. – Malaysiapost

