Dakwaan rasuah usaha bunuh karakter menjelang PRN Johor – Maszlee Malik

0
2

AHLI Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik menafikan laporan media mengatakan beliau terbabit dakwaan rasuah ketika memegang jawatan Menteri Pendidikan.

Menurutnya, dakwaan itu adalah usaha jahat pihak tertentu ketika menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dan komitmen beliau dalam isu-isu pendidikan.

“Saya telah membaca laporan Malaysiakini semalam berhubung dakwaan rasuah melibatkan saya yang ditimbulkan oleh pihak tertentu.

“Saya menafikan sekeras-kerasnya kenyataan rekayasa dusta berbaur fitnah ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Maszlee berkata, perkara itu dilihat sebagai satu usaha pembunuhan karakter berunsur jahat (mala fide) oleh pihak tertentu terhadapnya.

“Saya mengalu-alukan sebarang siasatan kerana tiada apa yang perlu disembunyikan.

“Hidup dan perjuangan saya adalah untuk memperjuangkan pendidikan, nasib orang kurang upaya (OKU), nasib masyarakat miskin, kebajikan rakyat Simpang Renggam dan Integriti bagi negara,” katanya.

Terdahulu Malaysiakini yang memetik sumber melaporkan siasatan dijalankan SPRM terhadap Maszlee adalah berhubung dakwaan rasuah ketika beliau menjadi Menteri dari 2018 hingga awal 2020.

Maszlee didakwa menerima wang daripada pembekal Kementerian Pendidikan yang kemudian digunakan untuk aktiviti politik.

Beliau juga didakwa menerima sebuah Toyota Vellfire daripada syarikat yang dikaitkan dengan kementerian sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here