SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan menyerahkan kertas siasatan mengenai hubung kait bekas Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr Zeti Aktar Aziz dan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) kepada Jabatan Peguam Negara.
Difahamkan kertas siasatan SPRM itu adalah susulan siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ke atas keluarga Zeti sebelum ini berhubung dana yang dikaitkan kepada ahli perniagaan yang diburu polis Low Taek Jho atau Jho Low.
Hasil siasatan Bukit Aman itu diserahkan kepada Peguam Negara bulan lalu.
Memetik laporan FMT, berdasarkan sumber, kertas siasatan SPRM terhadap bekas Menteri Kewangan ll Tan Sri Nor Mohamed Yakcop mengenai isu sama, juga akan di hantar ke pejabat Peguam Negara.
“(Semua) siasatan terhadap perkara ini akan dihantar kepada Pejabat Peguam Negara untuk diserahkan kepada PDRM kerana PDRM telah menjalankan siasatan terhadap suami Zeti (Tawfiq Ayman),” kata sumber itu.
Menurut sumber itu, polis telah mengambil keterangan Tawfiq pada tahun lalu berhubung “penerimaan wang ke dalam akaun milik beliau di Singapura yang diperoleh hasil daripada terbitan (bon) RM5 bilion oleh Ambank pada tahun 2009.”
“Siasatan SPRM memberi tumpuan kepada pemulangan aset yang mana setakat ini telah berjaya memperoleh sebanyak AS$15.4 juta membabitkan akaun Cutting Edge Industries Ltd milik Tawfiq,” katanya.
Mac lalu, polis dilaporkan menyiasat Tawfiq berhubung dana kaitan 1MDB yang didakwa disalurkan ke sebuah akaun bank miliknya di Singapura.
Sebelum itu, polis Singapura dilaporkan memaklumkan Bank Negara mengenai transaksi mencurigakan pada tahun 2015 dan 2016 melibatkan syarikat milik suami Zeti dan anaknya.
Transaksi itu membabitkan dana daripada akaun yang dikaitkan kepada Jho Low dan ketika itu, Zeti adalah gabenor BNM. – Malaysiapost

