Adun Larkin pula umum keluar Bersatu

0
3
https://www.facebook.com/108539967611901/photos/a.114910210308210/457761449356416/

AHLI Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad hari ini mengumumkan keluar Bersatu.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat kerana hilang keyakinan terhadap Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Mohd Izhar berkata, beliau tidak akan mempertahankan kerusi Larkin atau mana-mana kerusi lain dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

“Tindakan ini terpaksa saya ambil dengan berat hati setelah parti yang saya dukungi selama ini hilang hala tuju dan gagal meneruskan agenda penubuhannya sebelum ini,” katanya dalam sidang media, hari ini.

Dalam pada itu, Mohd Izhar menggesa pengundi Johor agar memberikan sokongan mereka kepada Barisan Nasional (BN) dalam PRN Johor bagi menjamin kestabilan kerajaan selepas ini.

Mengulas lanjut, Mohd Izhar berkata, Muhyiddin bukan saja gagal membawa Bersatu ke tahap yang lebih baik malah tidak berusaha memulihkan parti berkenaan selepas ia berpisah daripada kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad.

Katanya, apa yang bukan saja merencatkan perkembangan parti malah menjejaskan idealisme perjuangan parti itu, sekali gus memberi kesan pada masyarakat khususnya orang Melayu dan Islam.

“Dalam kata lain, antara faktor utama saya meninggalkan Bersatu ialah kerana hilang kepercayaan kepada presiden,” katanya.

Beliau yang juga bekas Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Johor berkata, beliau yakin BN perlu diberi laluan untuk menjadi kerajaan.

“Atas kesedaran dan keinsafan ini juga saya akan terus membantu Umno untuk kembali ke landskap asal, yang lebih baik dan untuk bersama-sama rakyat memperjuangkan agenda orang Melayu Islam dan keseluruhan rakyat negeri Johor,” katanya.

Untuk rekod, Mohd Izhar memenangi kerusi DUN Larkin atas tiket PH dengan majoriti undi yang meyakinkan iaitu 8,590 mengatasi dua pencabar iaitu Yahya Ja’afar dari BN dan Zakian Tukirin (PAS) pada PIlihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu . – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here