PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) melancar kutipan derma sempena penyertaan kali pertama parti itu dalam kancah pilihan raya.
MUDA dijangka bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor seperti yang dimaklumkan Presidennya Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dalam satu hantaran Facebook, hari ini.
“Ini adalah permulaan kami. Bantu Parti MUDA untuk menang PRN Johor 2022.
“Sumbangan anda akan membantu kami dalam banyak perkara pada PRN ini,” katanya.
Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar menjelaskan, MUDA telus dalam membelanjakan sumbangan orang ramai dan akan menunjukkan aliran tunai pembelanjaan itu kepada umum.
“Setiap perbelanjaan akan tunjuk secara terbuka.
“MUDA adalah parti untuk semua. Johor adalah permulaan bagi MUDA dan MUDA adalah perubahan bagi Johor. Bantu kami untuk bawa perubahan baru untuk Johor!,” katanya.
Sebelum ini, Syed Saddiq mengumumkan parti itu didaftarkan secara rasmi oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) pada 23 Disember lalu. – Malaysiapost

