Bekas CEO IKSIM berjaya ketepikan saman fitnah Khalid Samad

0
2
Ahli Parlimen Shah Alam Khalid Samad

MAHKAMAH Rayuan Kuala Lumpur hari ini mengenepikan keputusan Pesuruhjaya Kehakiman yang memberikan kemenangan kepada Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad berhubung kes saman fitnah beliau terhadap bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Kajian Strategik Islam Malaysia (IKSIM), Profesor Datuk Mahamad Naser Disa.

Mahkamah membuat keputusan itu secara sebulat suara termasuk mengenakan bayaran kos RM40,000 terhadap Khalid.

Sementara itu, Mahamad Naser berkata, beliau bersyukur ke hadrat Allah SWT dengan keputusan Mahkamah Rayuan berkenaan.

Mahamad Naser yang pernah berkhidmat di Jabatan Peguam Negara sebelum tahun 2000 pernah mengendalikan kes-kes berprofail tinggi bagi pihak kerajaan.

Malah, beliau juga telah menasihati Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) untuk memberi laluan kepada usul RUU 355 yang dibawa oleh Presiden PAS.

Namun disebabkan kekeliruan ramai ahli Parlimen Islam dan bukan Islam, usul itu dilihat sebagai gerakan politik.

Pada Disember 2017, Khalid memfailkan saman mendakwa Mahamad Naser ada mengeluarkan pernyataan fitnah berhubung isu RUU 355.

Beliau didakwa berkata demikian di dalam seminar anjuran Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada 9.50 pagi, 28 September 2017 di Masjid Tengku Ampuan Jemaah, Bukit Jelutong, Shah Alam.

Khalid mendakwa Mahamad Naser sebagai defendan memberi gambaran bahawa beliau menentang RUU 355 itu.

Beliau berkata, dakwaan defendan itu berniat jahat dan menyebabkan reputasinya tercemar.

Oleh itu, beliau menuntut ganti rugi am, ganti rugi teruk dan ganti rugi teladan untuk ditaksirkan, selain permohonan maaf serta perintah injunksi.

Susulan itu, pada 17 Julai 2019, Mahkamah Tinggi membenarkan Khalid memperoleh ganti rugi RM80,000 selepas berjaya dalam kes samannya terhadap Mahamad Naser Disa.

Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Rohani Ismail membuat keputusan itu selepas membenarkan tuntutan saman yang dikemukakan oleh Khalid (plaintif) yang diwakili Muhammad Faiz Fadzil dan Mohd Faizal Abdullah terhadap Mahamad Naser (defendan).

Mahkamah sama juga memerintahkan Mahamad Naser membayar ganti rugi RM80,000 dan kos RM20,000 kepada plaintif.

Namun, peguam Datuk Hasnal Rezua Merican yang mewakili Mahamad Desa berkata, pihaknya akan mengemukakan rayuan terhadap keputusan itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here