Anak Osman Sapian mahu bertanding DUN Kempas

0
3

NORNEKMAN yang merupakan anak sulung bekas Menteri Besar Johor Allahyarham Datuk Osman Sapian mungkin bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Bagaimanapun, Nornekman, 47, akan bertanding atas tiket parti Pejuang memandangkan dirinya adalah Timbalan Ketua Pejuang Johor.

Menurutnya, meskipun bertanding atas tiket parti politik yang berbeza dengan bapanya, namun itu bukan penghalang baginya meneruskan legasi arwah Osman bagi menabur bakti kepada masyarakat,

“Saya memang bersedia untuk bertanding dan jika boleh, mahu menjadi calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Kempas kerana penduduk di situ amat dekat di hati kami sekeluarga, termasuk saya sendiri sepanjang tiga penggal arwah menjadi wakil rakyat di situ.

“Bagaimanapun saya tetap akan akur dengan sebarang keputusan kepimpinan parti melibatkan soal pencalonan dalam PRN Johor,” katanya seperti dilapor Johorkini

Osman bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas yang juga merupakan Ketua Bahagian Bersatu Ayer Hitam, meninggal dunia di rumah anaknya di Kuala Lumpur pada 21 Disember 2021.

Mengulas mengenai Johor sebagai medan pertama Pejuang bertanding, Nornekman berkata, parti itu mahu menghadiahkan kemenangan PRN Johor kepada Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad selain berharap kesihatan pengasas parti itu beransur baik sekali gus membolehkan beliau turun membantu jentera di PRN Johor.

“Bagaimanapun, apa yang lebih utama adalah beliau menjaga kesihatan diri ketika ini. Jika beliau tidak dapat turun secara fizikal sekalipun, beliau masih boleh membantu kempen melalui pelbagai platform lain, termasuklah menggunakan media sosial,” katanya. – Malaysiapost

Kredit Foto: Utusan

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here