JABATAN Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) menahan seramai 7,159 orang membabitkan 8,234 kes dan nilai rampasan terkumpul sebanyak RM610.1 juta sepanjang tahun lalu.
Pengarahnya, Datuk Hazani Ghazali, berkata prestasi membanggakan itu meliputi pelbagai kesalahan jenayah seperti penyeludupan, migran, khazanah negara dan lain-lain kesalahan.
Menurutnya, aktiviti jenayah seperti penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) dan barang kontraban adalah berbeza mengikut zon-zon persempadanan.
“Di bahagian utara semenanjung, barangan yang kerap diseludup adalah daun ketum, minuman keras, ubat batuk dan dadah serta PATI.
“Manakala di bahagian Timur semenanjung pula barangan seperti beras, minyak masak, petrol/diesel, binatang ternakan dan barangan tiruan kerap diseludup,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, di zon tengah dan selatan pula barang yang diseludup adalah rokok, minuman keras, dadah, hidupan liar dan PATI.
Menurutnya, di zon Sabah dan Sarawak aktiviti penyeludupan dilakukan melalui lorong-lorong tikus dengan menyeludup rokok, minuman keras, kayu balak/bakau, barang keperluan harian yang terkawal dan hidupan liar serta PATI.
“Mengikut statistik tangkapan imigran, terdapat di kalangan individu yang mempunyai peranan masing-masing dalam sesuatu kes, antaranya termasuk sebagai ejen, tekong darat, tekong laut, penjaga rumah penampungan atau pengangkut (transporter),” katanya.
Beliau berkata jabatan KDNKA sentiasa bersiap sedia dan komited dalam memastikan ketenteraman awam dan keselamatan negara sentiasa dilindungi serta terus terpelihara.
“Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga memohon kerjasama daripada masyarakat untuk turut bersama-sama menunaikan tanggungjawab menjaga keselamatan dan kedaulatan negara,” katanya. – Malaysiapost

