Johor perlu kerajaan stabil untuk pemulihan ekonomi – Najib

0
2

BEKAS Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Johor memerlukan sebuah kerajaan negeri yang berpengalaman dan stabil untuk pemulihan dan perkembangan ekonomi negeri itu.

Beliau berkata, untuk tujuan itu, Johor memerlukan sebuah kerajaan negeri dengan majoriti yang kukuh daripada satu gabungan yang kuat.

“Ia bukan dari ‘gabungan-gabungan rojak’ yang dibentuk atas kepentingan politik yang hanya tunggu masa untuk berpecah lagi,” katanya menerusi Facebook.

Mengulas lanjut, Najib berkata, sepanjang tempoh beliau menjadi Perdana Menteri, Johor biasanya menduduki tempat pertama antara semua negeri dalam Malaysia bagi nilai pelaburan (domestik dan asing) setiap tahun.

“Pada tahun 2016, 2017 dan 2018 (akibat usaha menarik pelaburan pada tahun sebelumnya), jumlah pelaburan di Johor masih tinggi dan negeri itu masih menduduki tempat pertama.

“Selepas PRU14 pula, jumlah pelaburan ke Johor terus menjunam di bawah ketidakcekapan kerajaan baharu disamping keadaan ketidakstabilan politik negeri dan negara.

“Dari tahun 2018 hingga 2020, empat individu berlainan telah menjawat sebagai Menteri Besar Johor,” katanya.

Najib berkata, sebelum dibubarkan minggu lalu, Kerajaan Johor cuma mempunyai 28 DUN daripada 56 DUN selepas seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bersatu meninggal dunia bulan lalu.

“Selain itu, Menteri Besar Johor pula adalah dari gabungan Barisan Nasional (BN) yang hanya memiliki 16 daripada 56 kerusi DUN.

“Pada keadaan yang amat tidak stabil ini, ramai pelabur-pelabur tidak berani melabur sebab setiap kali kerajaan bertukar tangan, mereka mengalami risiko projek-projek mereka dibatalkan ataupun dasar akan bertukar.

“Akibatnya, kedudukan Johor jatuh ke tempat ke-4 pada tahun 2019, tempat ke-5 pada tahun 2020 dan dijangka antara tempat ke-6 hingga ke-8 bagi tahun 2021 lepas apabila MIDA umumkan laporan terakhir tahun lepas pada bulan Mac 2022 nanti,” katanya.

Sehubungan itu, menurut Najib, sekiranya warga Johor ingin ekonomi serta pelaburan dipulihkan dan berkembang semula maka ada keperluan untuk mengembalikan sebuah kerajaan negeri yang stabil adalah perlu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here