MITI tumpu kekalkan Malaysia destinasi pelaburan terbaik

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=480712163413244&set=pb.100044233939355.-2207520000..&type=3

KEMENTERIAN Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) kekal memberi tumpuan bagi mencari peluang dalam bidang pertumbuhan baharu, menjalin kerjasama lebih erat bersama industri bagi meningkatkan kemahiran serta menarik lebih banyak pelaburan strategik bagi mengekalkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan asing paling menarik.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, berkata berdasarkan laporan Indeks Peluang Global (GIO) Milken Institute 2022 yang dikeluarkan semalam, telah meletakkan Malaysia sebagai negara paling menarik bagi pelaburan asing di Asia Tenggara.

“Justeru, ini mencerminkan kejayaan usaha besar MITI untuk melaksanakan dasar memastikan bakat tersedia selain mewujudkan pekerjaan untuk ekonomi.

“Laporan itu juga menjelaskan bahawa Malaysia mengambil langkah dengan melonggarkan sekatan dan menggubal dasar untuk memanfaatkan pembangunan perdagangan, sekali gus membantu negara ini berada di kedudukan pertama dalam indeks berkenaan.

“Langkah itu menjadi pencetus untuk membawa negara ini ke aras pertambahan inovasi, penciptaan pekerjaan dan daya saing global,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata, ia mencerminkan komitmen MITI untuk mengukuhkan rangka kerja institusi dan memperdalamkan integrasi serantau menerusi perjanjian perdagangan bebas (FTA) mega seperti Perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) dan Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) yang akan diratifikasi tidak lama lagi.

“MITI akan meneruskan usaha untuk memacu pertumbuhan Malaysia yang mantap dan mampan, disokong oleh ekonomi bebas, dengan dasar mesra perniagaan serta pragmatik yang menghasilkan iklim pelaburan menarik dan kondusif,” katanya.

Beliau berkata, pencapaian tersebut adalah bukti keazaman, komitmen dan daya proaktif kerajaan untuk dasar yang mantap serta secara berterusan memacu pembaharuan domestik yang akhirnya melonjakkan kedudukan Malaysia sebagai destinasi pelaburan pilihan.

“Ia jelas membuktikan keyakinan kukuh pelabur asing terhadap ekosistem perniagaan kita yang tangkas dan ekonominya yang bertenaga,” katanya.

Menerusi laporan GIO menunjukkan Malaysia mengatasi negara Asia Tenggara baharu muncul sebagai destinasi pelaburan asing paling menarik di rantau ini.

Berdasarkan indeks itu, Malaysia mendapat kedudukan paling tinggi di rantau ini disebabkan prestasinya yang kukuh merentasi semua kategori yang diukur. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here