CIMB Bank menyedari berlaku ralat dalam pemprosesan yang menyebabkan sebilangan kecil pelanggan menerima kredit pendua dalam akaun mereka.
CIMB menerusi satu kenyataan hari ini, berkata pihaknya kini sedang menghubungi pelanggan berkenaan
“Ia bagi memastikan penyelesaian yang adil dan terurus.
“Pelanggan yang terjejas juga boleh menghubungi kami di 03 2295 6188 untuk penjelasan dan perbincangan lanjut,” kata CIMB, hari ini.
Terdahulu, kecoh di media sosial netizen terutama pelanggan CIMB bahawa bank itu sedang bermasalah yang didakwa turut menahan wang pelanggan daripada dikeluarkan.
Antaranya pemilik akaun Facebook (FB) Ria Tajudin yang membuat hantaran seperti berikut: “Semua orang complain dekat link ni https://www.cimb.com.my/…/forms-enq/support/feedback.html
“Saya nama (), No Ic () pemilik akaun no (cimb akaun no) memohon pihak bank untuk mengembalikan duit yang telah ditahan daripada akaun saya.
“Memandangkan tiada dokumentasi daripada pihak mahkamah pihak bank tiada hak untuk menahan duit atau memotong duit saya. Saya beri tempoh selama 24 jam kepada pihak bank untuk menyelesaikan masalah ini,” tulisnya.
Mohd Fawwaz Mohd Yunos juga turut mengalami perkara sama apabila dua akaun simpanannya menjadi negatif dan dibeku.
“Assalamualaikum semua tolong cek cimb clicks anda, tetiba CA dan SA saya ada negatif – RM27,000 dan -RM34,000.. Duit boleh masuk tapi tak boleh transfer.. Semua dibekukan,” katanya.
Sementara itu, pemilik akaun Farid Zulaika dan Nabila Nabilala memaklumkan menerima sistem pesanan ringkas (SMS) daripada bank yang memberitahu mereka mempunyai hutang dengan CIMB Bank sebanyak RM103,000 dan RM64,000.
Bagaimanapun, pengendali akaun FB berkenaan meminta mereka dan pengguna lain yang terjejas menghubungi pusat panggilan bank untuk mendapatkan penjelasan lanjut. – Malaysiapost

