Keluarga dibenar lawat penghuni penjara Tahun Baru Cina ini

0
3
banduan pesalah penjara

JABATAN Penjara Malaysia membenarkan lawatan perjumpaan sempena sambutan Tahun Baru Cina 2022 kepada keluarga penghuni penjara.

Dalam satu kenyataan hari ini, jabatan berkenaan memaklumkan perjumpaan boleh diadakan melalui dua pilihan iaitu secara bersemuka (Intercom) untuk pelawat yang lengkap divaksinasi.

Satu lagi pilihan adalah melalui panggilan video dalam tempoh lima hari bermula 3 hingga 7 Februari ini yang tertakluk kepada beberapa syarat-syarat.

Antara syarat-syarat berkenaan adalah seorang penghuni penjara hanya dibenarkan untuk menerima sekali sahaja lawatan daripada keluarga.

“Lawatan perjumpaan hanya dibenarkan kepada pelawat yang membuat temujanji sahaja. Terdapat tiga kaedah tempahan iaitu: sistem i-Visit di laman web: www.prison.gov.my; panggilan telefon di institusi berkenaan; dan email atau surat ke institusi berkenaan.

“Pihak institusi akan menetapkan tarikh dan sesi perjumpaan selepas tempahan dibuat dan masa perjumpaan tidak lebih 30 minit yang juga bergantung kepada situasi institusi penjara berkaitan,” menurut kenyataan itu.

Syarat lain yang dikenakan adalah hanya dua pelawat sahaja dibenarkan dalam kalangan keluarga yang telah ditetapkan oleh pihak penjara.

“Pelawat warga emas yang berumur lebih 60 tahun, kebenaran yang diberi adalah bersyarat iaitu mesti dalam keadaan sihat dan tidak bergejala serta pelawat wajib mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 4.

“Kebenaran perjumpaan secara panggilan video sahaja adalah terpakai bagi penjara sekiranya negeri atau tempat berkaitan berada di luar PPN Fasa 4 semasa tarikh lawatan ini berkuatkuasa,” katanya.

Sementara itu, perjumpaan secara bersemuka bagi Pusat Reintegrasi Penjara dan Sekolah Henry Gurney perlu mematuhi Panduan Lawatan Perjumpaan Banduan/ Tahanan/ Penghuni Norma Baharu.

“Sila hubungi institusi berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut. Maklumat institusi boleh didapati di laman web Jabatan Penjara Malaysia: www.prison.gov.my,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here