JEMAAH umrah yang terkandas daripada menunaikan ibadat itu susulan penangguhan sementara yang dikuatkuasakan kerajaan bermula 8 Januari lalu akan menerima sejumlah pampasan dalam masa terdekat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Idris Ahmad, berkata Mesyuarat Kabinet dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, semalam mengamanahkan pembayaran pampasan itu kepada beberapa kementerian terbabit.
“Saya diamanahkan untuk bersama dengan Kementerian Pelancongan Kesenian dan Kebudayaan (MOTAC); Kementerian Kewangan (MOF) dan Lembaga Tabung Haji (TH) untuk memberikan sedikit pampasan kepada mereka yang tidak boleh pergi umrah baru-baru ini.
“Insya-Allah kita akan bayar sedikit saguhati ataupun pampasan akibat daripada mereka tidak dapat ke Makkah,” katanya dalam satu video dimuat naik di laman Facebooknya.
Menurutnya, perkara itu akan diuruskan dan senarai nama akan diperoleh daripada MOTAC bagi mereka yang terlibat dan wang berkenaan akan dibayar melalui TH.
“Kita akan umumkan sedikit masa lagi bila wang berkenaan akan dimasukkan ke TH
“Ini satu perkara yang menggembirakan walaupun tidak dapat menggantikan semuanya, namun sedikit sebagai tanda simpati pihak kerajaan kepada mereka yang terkandas daripada menunaikan umrah baru-baru ini,” katanya.
Sementara itu, Idris berharap pembukaan semula bagi umat Islam di Malaysia untuk menunaikan umrah bermula 8 Februari ini dapat berjalan lancar dengan jemaah dan pihak agensi umrah mengikuti syarat ditetapkan kerajaan dan pihak Arab Saudi.
“Saya harap pihak agensi dapat memastikan jemaah umrah mengikut syarat yang ditetapkan Arab Saudi
“Saya juga tidak mahu dengar lagi unsur-unsur penipuan dari segi vaksinasi Covid-19 dan sebagainya yang akibatnya kerana nila setitik habis susu sebelanga.
“Harap semua jemaah umrah juga dapat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan Arab Saudi. Apa sahaja syarat hendaklah dipatuhi untuk kebaikan bersama,” katanya.
Semalam, Kabinet memutuskan umat Islam dibenarkan untuk mengerjakan ibadat umrah berkuat kuasa 8 Februari ini. – Malaysiapost

