KAYA dan popular tidak menjamin adab dan tahap intelektual seseorang, kata penyanyi penyanyi Datuk Fazley Yaakob mengulas isu panas Datuk Seri Vida yang didakwa melabel Anuar Zain sebagai gay.
Menurut peserta program Gegar Vaganza musim kelapan (GV8) itu, sesetengah individu diduga dengan kemiskinan dan kepayahan hidup agar kekal berusaha serta kekal dalam iman walau serba kekurangan.
Namun katanya, sebahagian lagi pula diduga dengan kekayaan, kemewahan dan populariti, tetapi lupa diri dan mudah mencari salah serta melabel orang lain dengan kata-kata yang boleh merosakkan imej seseorang.
“Kasihan insan yang gemar mencari publisiti secara kurang ilmiah dan seperti tiada adab semata-mata untuk mencari rezeki. Elokkah jika dijadikan contoh anak-anak muda yang baru nak belajar menjadi usahawan.
“Kita orang timur, kita seharusnya kekal dengan rasa hormat dan matang dalam semua keadaan tidak kira dengan sesiapa. Apatah lagi berhadapan insan yang dihormati ramai, malah mempunyai pelbagai lapisan pengikut,” katanya menerusi hantaran di Instagram.
Pelantun lagu Asmara Ini itu turut memuat naik gambar Vida pada hantaran berkenaan.
Fazley turut menyifatkan sikap Vida sebagai memalukan serta dirinya semakin hilang rasa hormat terhadap usahawan kosmetik itu.
“Shame on you! Maaf semakin hilang rasa hormat saya terhadap beliau yang seolah-olah semakin buat tabiat.
“Terlajak perahu boleh diundur, terlajak livenya yang telah di screen capture buruk padahnya,” katanya lagi.
Terdahulu, menerusi platform TikTok, seorang pengguna berkongsi video yang memaparkan jutawan kosmetik itu membalas pertanyaan seorang peminat di media sosial.
Dalam video berkenaan, individu itu mahu Vida memikat Anuar, lalu dia membalas pertanyaan itu, dengan mengatakan ‘gay’.
Bagaimanapun, menerusi laporan media, Vida tampil menjelaskan dia tidak menyatakan ‘gay’ namun sebaliknya ‘kay’ yang bermaksud okay. – Malaysiapost

