Henti pujuk Umno terima Bersatu – Najib

0
2

KEPIMPINAN Pas yang mahu Muafakat Nasional (MN) diteruskan, namun meminta Umno menerima Bersatu diseru supaya menghentikan pujukan itu dan menerima hakikat bahawa Bersatu ingin memusnahkan Umno.

Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Najib Razak berkata, akar umbi Umno sudah lama sedar niat dan hasrat sebenar Bersatu adalah untuk tamatkan Umno buat selama-lamanya.

“Sejak rakaman audio “scheme of things” terbongkar di mana Perdana Menteri Kelapan (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dedahkan rancangan untuk sogok pemimpin-pemimpin Umno dengan jawatan kerajaan dan syarikat berkaitan kerajaan GLC, kami dah sedar.

“Jadi dengan pengakuan umum parti Bersatu semalam, saya harap pemimpin-pemimpin Umno yang masih inginkan kita bekerjasama dengan Bersatu akan hentikan usaha mereka.

“Kawan-kawan dalam Muafakat (MN) yang masih seru kita untuk menerima Bersatu pun patut henti pujuk. Kami tetap kawan tapi jangan pujuk lagi,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Najib berkata, permintaan untuk Umno bekerjasama lagi dengan Bersatu tidak dapat diterima kerana niat jahat parti berkenaan sangat jelas.

“Sebab kami tak faham kenapa Umno perlu bekerjasama dengan pihak lain bagi memudahkan niat jahat dan hasrat mereka untuk tamatkan Umno. Itu gila,” tegasnya.

Ahli Parlimen Pekan itu mengulas mengenai kenyataan Ketua Penerangan Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri yang berhubung keputusan Muhyiddin yang juga Presiden Bersatu tidak mempertahankan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gambir dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang.

Terdahulu Mohd Solihan dilaporkan berkata, tanpa terikat sebagai calon, Muhyiddin boleh memberi fokus sepenuhnya tugas pengurusan dan operasi jentera PN di seluruh Johor.

Beliau berkata, Muhyiddin berpendirian dominasi kerajaan BN mesti ditamatkan dan Umno yang menjadi teras gabungan itu tidak lagi mampu bangkit selama-lamanya selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) akan datang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here