KERAJAAN Kelantan mengakui sedar akan kewujudan aktiviti pembalakan haram dan penerokaan hutan simpan kekal di negeri itu, namun menegaskan ia tidak begitu serius.
Perkara itu ditegaskan Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah ketika ditanya berhubung aktiviti tersebut hari ini.
Jelasnya, pembalakan haram oleh pihak tidak bertanggungjawab sebenarnya tidak terhad di Kelantan, malah di seluruh negara tetapi di negeri itu masih terkawal.
“Pembalakan haram memang ada (di Kelantan), misalnya ada orang kampung nak buat kebun, dia nak tanam durian, kelapa sawit… jadi dia tebang hutan simpan.
“Dari segi undang-undang memang salah menceroboh hutan simpan dan kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur. Apabila ada kesalahan, kita akan ambil tindakan,” katanya seperti dilapor Malaysiakini.
Beliau berkata demikian bagi mengulas kes penerokaan haram kawasan hutan simpan negeri dengan menanam kelapa sawit, yang kemudian dijual pada harga rendah kepada orang ramai.
Kes itu antara taktik terbaharu dilakukan sindiket pencerobohan hutan simpan yang dikesan Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan.
Ditanya punca pembalakan haram yang didakwa menyebabkan harimau masuk ke perkampungan Orang Asli di Gua Musang, Naib Presiden PAS itu menegaskan, tanggapan itu tidak betul.
“Harimau masuk kampung bukan kerana penebangan hutan dan kita ada baca kenyataan Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) Kelantan yang sebut harimau masuk kampung sebab faktor harimau kena penyakit.
“Keadaan ini menyebabkan harimau merayau dalam kampung kerana tidak boleh mencari makanan seperti biasa.
“Kalau kita hendak salahkan penebangan balak, itu tidak betul. Banjir sikit pun nak salahkan penebangan balak, bukan begitu,” katanya.
Tambahnya, Perhilitan juga sedang berusaha memburu dua harimau yang merayau di kawasan perkampungan dan kerajaan percaya dengan apa yang dibuat sekarang masalah tersebut boleh diselesaikan.
“Setakat semalam, Perhilitan tidak boleh kesan lagi dua ekor harimau yang merayau dan haiwan itu juga tidak masuk ke kampung selepas seekor daripadanya ditembak.
“Kerajaan negeri juga menasihatkan Orang Asli supaya tidak keluar rumah dan mereka mendengar nasihat yang diberikan.
“Pelbagai pihak juga menghulurkan bantuan kepada Orang Asli untuk meneruskan kehidupan dan setakat ini kita tiada perancangan untuk memindahkan mereka memandangkan penduduk lebih selesa berada di kampungnya berbanding lokasi baharu,” katanya. – Malaysiapost

