KEMENTERIAN Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan kerajaan Kelantan hari ini bersetuju untuk mempercepatkan proses pengambilan tanah bagi projek berkepentingan rakyat.
Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, pengambilan tanah itu membabitkan projek di bawah agensi KPLB, Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (KESEDAR).
“Saya bersama Datuk KSU (Ketua Setiausaha) dan Pengarah KPLB Kelantan serta Pengurus Besar KESEDAR membincangkan hal-hal berkaitan kerjasama antara negeri dan Persekutuan yang melibatkan projek-projek khususnya di KESEDAR.
“Contohnya ada pengambilan tanah, projek itu adalah projek Persekutuan bawah KPLB, kerajaan negeri buat pengambilan tanah, jadi kita buat kolaborasi Task force.
“Kita pun bersetuju untuk mempercepatkan proses projek seperti jururunding dan sebagainya, di peringkat kementerian diketuai KSU dan di peringkat negeri diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, jadi ini memudahkan urusan,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob di Kompleks Kota Darul Naim di Kota Bharu hari ini.
Turut hadir, Timbalan Menteri Besar, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah dan Ketua Setiausaha KPLB, Datuk Ramlan Harun.
Selain itu jelas Mahdzir, perbincangan kedua-dua pihak turut merangkumi program-program pembangunan di wilayah KESEDAR.
“Kami juga berbincang untuk menyelesaikan perkara berbangkit lama dalam kawasan KESEDAR, sebab di KESEDAR ada tanah diusahakan untuk membangunkan peserta khususnya dalam tanaman kelapa sawit.
“Ada lagi kita sedang usahakan untuk buat ukuran tanah bagi membolehkan kita serahkan kepada peserta dalam masa jangka panjang,” katanya.
Di peringkat KPLB, kata Mahdzir, pasukan petugas khas yang ditubuhkan sebelum ini akan diperkemaskan sebagai susulan kepada persetujuan yang dicapai hari ini.
Beliau menetapkan sasaran dalam tempoh lima bulan untuk menggerakkan inisiatif yang dipersetujui tersebut. – Malaysiapost

