Tidak sebulu dengan Presiden, Mazlan tidak pertahankan Puteri Wangsa

0
2

PENYANDANG kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang bertegas tidak akan mempertahankan kerusi berkenaan atas tiket Bersatu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor nanti.

Menurutnya, tindakan itu diambil berikutan beliau tidak lagi sebulu dengan Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Bagaimanapun, Ketua Bahagian Bersatu Tebrau itu mengakui masih ahli parti itu setakat ini.

“Saya tidak mungkin bertanding atas tiket Bersatu pada PRN Johor nanti,” katanya dipetik Berita Harian, hari ini.

Bekas Ketua Bersatu Johor itu berkata, masa depan dan pendirian politiknya bersama parti itu akan diumum dalam masa terdekat.

“Tunggulah sehari dua lagi saya akan buat keputusan muktamad, namun yang pasti saya tidak akan bertanding PRN Johor atas tiket Bersatu.

“Ini kerana saya tidak sehaluan lagi dengan Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin dan tidak nampak ada masa depan, jika terus bersama parti itu.

“Bersatu bukan milik Muhyiddin kerana pemimpin boleh bersilih ganti, namun saya tidak mungkin akan terus bersama parti itu yang dipimpin beliau kerana prinsip kami tidak sama,” katanya.

Pada 20 Jan lalu, Mazlan yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya Johor, dilaporkan sedia menimbangkan untuk bersara daripada dunia politik sekiranya PRN Johor diadakan.

Sebelum ini Mazlan dilaporkan menafikan akan mengisytiharkan menjadi wakil rakyat Bebas bagi memberi laluan kepada PRN.

Ditanya sama ada beliau sudah tidak lagi mahu bersama Bersatu, Mazlan mengakui perkara itu.

“Ya, saya tidak mahu bersama Bersatu yang dipimpin bekas Perdana Menteri itu,” katanya.

“Setakat ini, tiada parti yang menawarkan apa-apa kepada saya, cuma akan datang saya tidak pasti. Tunggulah sehari dua nanti saya putuskan haluan politik saya,” katanya. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here