Bersatu takkan biar golongan ‘Jadong’ hinjak maruah Melayu – Wan Fayhsal

0
2

BERSATU akur dengan aturan demokrasi iaitu apabila ada pilihan raya, parti itu akan melawan secara sihat, kata Ketua Angkatan Anak Muda Bersatu (Armada), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Menyifatkan kalah menang adat pertandingan, beliau bagaimanapun menegaskan Bersatu tidak sesekali membiarkan golongan Jadong (jahat, bodoh, sombong” menghinjak maruah Melayu dan Negara persis ‘ayam berkokok berderai-derai, ekor bergelumang tahi’.

“Janji keramat Armada Bersatu tidak pernah luput kerana perjuangan amar makruf nahi mungkar ke atas kleptokrasi belum tamat! Biar kami berputih tulang, tidak sesekali berputih mata!,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Beliau berkata, asas penubuhan Bersatu sendiri bertitik tolak daripada kegagalan merawat tubuh politik Melayu dari dalam.

“Habis dibuang semua doktor yang hendak membantu. Akibat sifat Jadong – segelintir mereka itu masih melata dengan rakusnya pertahankan pengkhianatan yang tidak surut dalam membalun amanah dan harta rakyat khusus tabung dana orang Melayu sendiri,” katanya.

Beliau bagaimanapun tidak menyebut secara terperinci pertandingan yang dimaksudkan, namun dipercayai merujuk kepada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan berlangsung tidak lama lagi. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here