Kerjasama dengan PAS: MKT Umno akan putuskan

0
3

MESYUARAT Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno akan memutuskan sama ada Umno Johor akan bertanding solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) bersama rakan komponen Barisan Nasional (BN), atau bekerjasama dengan PAS.

Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata sebelum ini Umno Johor telah menyatakan pandangan bahawa ia cenderung untuk bertanding secara solo dalam BN berbanding bekerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional (MN) atau parti lain.

“Itu (kerjasama dengan PAS) belum kita putuskan, tetapi mengikut apa yang disebut Pengerusi Perhubungan Umno Johor yang juga Pengerusi BN negeri, mereka lebih cenderung untuk bertanding solo.

“Jadi kita akan bincang di peringkat jawatankuasa pusat dan akan putuskan dalam mesyuarat khas MKT mengenai bagaimana cara kita hadapi PRN Johor,” katanya hari ini, lapor Berita Harian.

Jumaat lalu, Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dilaporkan memberi bayangan parti itu sedia bekerjasama dengan Umno dalam PRN Johor jika Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

Sehubungan itu, beliau berkata, PAS akan mengadakan perbincangan dengan kepimpinan tertinggi Umno dalam masa terdekat.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada PRN. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here