VETERAN DAP, Lim Kit Siang mengkritik tindakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang didakwa ‘berdendam’ terhadap Ahli Parlimen Sungai Buloh, R Sivarasa berhubung isu membabitkan Tan Sri Azam Baki.
Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, berkata, Sivarasa mendakwa yang SPRM mengambil tindakan balas terhadap pusat khidmatnya selepas beliau membangkitkan isu pemilikan saham Ketua Pesuruhjaya SPRM berkenaan.
Katanya, ia sesuatu yang amat tidak boleh diterima dan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob perlu menghentikan tindakan SPRM yang didakwa membalas dendam secara peribadi terhadap Ahli Parlimen itu.
“Sivarasa mendedahkan yang pengurus pusat khidmat beliau, KR Naveen telah dipanggil SPRM Jumaat lepas dan dimaklumkan beliau akan didakwa atas tuduhan rasuah mengenai satu insiden yang berlaku empat tahun lalu.
“Malah, Sivarasa mengatakan yang dakwaan ini salah, berniat jahat, dan tidak berasas.
“Mengapakah kes ini dibangkitkan semula selepas empat tahun setengah?,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Justeru, Kit Siang berkata, Ismail Sabri perlu memastikan SPRM ‘tidak digunakan’ untuk membalas dendam peribadi terhadap Sivarasa berhubung isu Azam.
“Saya mencadangkan Sivarasa membuat laporan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Dewan Rakyat mengenai ‘dendam peribadi’ SPRM terhadapnya selepas beliau membangkitkan isu mengenai pemilikan saham Azam Baki
“Memandangkan perkara ini merupakan satu pencabulan Akta Majlis Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 di mana sesiapa yang didapati bersalah boleh dipenjarakan oleh Parlimen sekiranya mereka gagal membuktikan yang mereka tidak menghina Parlimen,” katanya.
Semalam, media melaporkan, Sivarasa mendakwa tindakan SPRM membuka semula pendakwaan terhadap seorang pegawainya adalah bertujuan mencemarkan imej pusat perkhidmatannya.
Beliau mendakwa, kes dakwaan rasuah empat tahun lalu itu juga dipercayai ditimbulkan semula kerana tindakan pihaknya membangkitkan kontroversi pemilikan saham membabitkan AZam sejak lebih sebulan lalu.
Menurutnya, ini kerana siasatan dilakukan terhadap beberapa pegawainya termasuk Pengurus Pusat Khidmat Parlimennya, Naveen pada 2017 berkenaan kesalahan rasuah berkaitan rasuah membabitkan pemberian permit pekerja asing itu tidak disusuli dengan sebarang pertuduhan. – Malaysiapost

