PRN Johor: Umno sasar tanding 42 kerusi – Tok Mat

0
2
Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan. Tok Mat

UMNO menyasarkan untuk bertanding sekurang-kurangnya 42 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Timbalan Presidennya, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata parti itu masih berbincang bersama parti komponen Barisan Nasional (BN) iaitu MCA dan MIC sebelum memuktamadkan jumlah kerusi yang akan ditandinginya.

“Kami menyasar minimum 42 daripada 56 kerusi DUN di Johor. Ini hanya mengambil kira Umno sahaja,” katanya kepada pemberita di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini.

Mohamad berada di mahkamah bagi memberi sokongan kepada Presiden Umno, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berhubung keputusan kes rasuah melibatkan dana Yayasan Akal Budi.

Sabtu lalu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar memperkenankan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri (PRN).

Mengenai persiapan menghadapi PRN itu, Mohamad mengakui Umno bakal berdepan cabaran getir terutama dengan pertambahan hampir 30 peratus pengundi baharu.

“Persediaan kita dalam menghadapi PRN Johor masih belum selesai, namun kita perlu bersiap sedia terutama fokus kepada pertambahan jumlah pengundi.

“Di Johor jumlah pengundi bertambah lebih 700,000 dan bermakna semua pihak perlu bekerja keras termasuk Umno,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here