Timbalan Menteri KPDNHEP: Boleh ubah harga makanan, tetapi harus munasabah

0
2

PENIAGA makanan diingatkan tidak mengubah harga jualannya yang tidak seiring kenaikan kos ditanggung dan harus munasabah supaya tidak membebankan pengguna.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Datuk Rosol Wahid berkata terdapat kekeliruan terhadap kenyataanya yang disalah tafsir berhubung
peniaga makanan boleh menaikkan harga jualan tetapi dengan syarat tidak mengaut keuntungan terlalu tinggi memandangkn harga bahan mentah turut meningkat.

Tegas Rosol, tiada istilah kerajaan memberi kebenaran kepada peniaga untuk menaikkan harga makanan dijual seperti dilaporkan.

“Sebaliknya saya menekankan mengenai penguatkuasaan KPDNHEP dalam isu kenaikan harga barang dan makanan.

“Maksud sebenar saya berhubung ‘Peniaga boleh naikkan harga asalkan tidak mencatut’ adalah menerangkan maksud berikut iaitu: Selaras dengan penguatkuasaan Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011, peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah dalam membuat sebarang perubahan harga jual, tetapi tetap tertakluk kepada peraturan-peraturan di bawah AKHAP2011, termasuk tidak mencatut,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan sistem ekonomi terbuka, harga barangan ditentukan oleh faktor permintaan dan penawaran.

“Begitu juga dalam isu harga makanan, di mana peniaga boleh menentukan sendiri harga jual makanan kepada pengguna, termasuklah membuat sebarang perubahan harga jual.

“Namun begitu, adalah diingatkan dan ditegaskan, peniaga tertakluk dengan peruntukan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 yang mana peniaga tidak akan terlepas daripada dikenakan tindakan sekiranya perubahan harga yang dibuat menunjukkan kenaikan yang terlalu tinggi, mendadak dan mengambil untung secara tidak munasabah atau berlebihan.

“Justeru, sekiranya kementerian menerima aduan berhubung harga, peniaga yang diadu akan disiasat dan boleh dikenakan tindakan di bawah AKHAP 2011,” katanya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pengguna yang berdepan salah laku peniaga termasuk yang cuba mengambil keuntungan berlebihan dan mencatut, diminta mengemukakan aduan kepada saluran aduan rasmi KPDNHEP bagi membolehkan siasatan dilakukan dan tindakan lanjut diambil.

“Gunakan kuasa pengguna anda sebaiknya,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here