Umno Kelantan tentu keputusan hubungan dengan PAS – Ismail Sabri

0
2

NAIB Presiden Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyerah kepada budi bicara Badan Perhubungan Umno Kelantan dalam memutuskan hubungan dengan PAS.

Ismail berkata keputusan yang dibuat Umno Kelantan itu tidak ada kaitan dengan pertemuan antara beliau dan barisan pimpinan negeri parti tersebut.

Jelasnya, badan perhubungan Umno negeri-negeri diberi kuasa membuat keputusan berhubung kerjasama membabitkan parti itu dengan PAS.

“Tak ada kaitan dengan (perjumpaan) saya (dan pimpinan negeri). Saya pergi perjumpaan itu beramai-ramai dengan semua kepimpinan semua bahagian dan cadangan tentang (keputusan) Kelantan itu sudah disuarakan waktu mesyuarat MT (Majlis Tertinggi).

“Umno Kelantan sudah memberikan gambaran apa keputusan dia. Cuma kita kata, kita serahkan kepada Umno Kelantan untuk menentukan, Umno Kelantan yang perlu menentukan masa depan politik di Kelantan.

“Kita serahkan kepada kebijaksanaan mereka untuk membuat keputusan asalkan tidak merugikan Umno dan kalau mereka merasakan itu yang terbaik untuk kekuatan Umno di Kelantan, kita kata ‘go ahead’, terserah kepada mereka,” katanya memetik Malaysiakini.

Semalam, Umno Kelantan memutuskan untuk tidak lagi bersama dengan PAS negeri menerusi Muafakat Nasional (MN), berkuat kuasa serta-merta.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno negeri, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub, berkata keputusan itu berikutan PAS Kelantan masih menjalin kerjasama dengan Bersatu dan memilih parti itu untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Mengulas kemungkinan pilihan raya negeri (PRN) di Kedah dan Perak selepas Johor, Ismail Sabri berkata, keputusan untuk membuat PRN terletak kepada negeri berkenaan.

“Itu bukan di bawah kawalan pusat, (kerajaan) negeri, menteri besar setelah berunding dengan Sultan negeri masing-masing, atau Yang Dipertua negeri masing-masing,” katanya.

Berkaitan PRN Johor pula, Ismail Sabri berkata, setakat ini Umno belum membuat keputusan untuk menjalinkan kerjasama dengan mana-mana parti memandangkan keputusan pembubaran dewan undangan negeri (DUN) baru dibuat semalam.

“Kita pun, baru semalam dan petang ini baru nak umum, selepas itu kita akan dapat laporan daripada Umno Johor dan Umno Johor pun akan memberikan pandangan mereka, kita pun tak tahu lagi,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here