KELUARGA Tun Dr Mahathir Mohamad memohon orang ramai tidak mempercayai khabar angin mengenai keadaan kesihatan bekas Perdana Menteri itu yang disebarkan sumber tidak sahih.
Menurut anak sulungnya, Datin Paduka Marina Mohamad, hanya Institut Jantung Negara (IJN) dan keluarganya akan mengeluarkan kenyataan dari semasa ke semasa.
Beliau turut memaklumkan bapanya masih dirawat di IJN hari ini dan ahli keluarga telah berinteraksi dengan beliau.
“Bagi pihak Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali, kami sekeluarga ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak, di dalam dan luar negara, yang telah menganjurkan majlis doa selamat dan bacaan yasin.
“Dan juga orang ramai dari pelbagai agama yang telah mengirim doa serta ucapan agar Tun Dr Mahathir cepat sembuh. Sekali lagi kami mengucapkan terima kasih kepada semua,” katanya.
Ini kali kedua bagi bulan ini, Dr Mahathir dimasukkan ke IJN selepas 7 Januari lalu, beliau menjalani prosedur perubatan elektif dan dibenar keluar enam hari kemudian.
Pada 16 Disember tahun lalu, beliau dimasukkan ke IJN untuk pemeriksaan perubatan menyeluruh dan pemantauan lanjut, sebelum dibenarkan keluar pada 23 Disember lalu.- Malaysiapost

