1 lagi mayat bot karam di Teluk Ramunia ditemui

0
2

MAYAT seorang lelaki warga Indonesia yang dipercayai mangsa kejadian bot karam di Teluk Ramunia, Kota Tinggi, Johor pada 20 Januari lalu, ditemui di perairan Singapura.

Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria, berkata ia menjadikan jumlah keseluruhan adalah 25 mangsa ditemui dengan 19 terselamat, enam lemas, dan dua lagi masih hilang.

Katanya, Maritime Rescue Sub Centre (MRSC) Johor Bahru dimaklumkan pihak berkuasa Singapura mengenai penemuan baharu itu di kedudukan lima batu nautika barat daya Changi Naval Base, Singapura, jam 12 tengah hari, semalam.

“Mayat yang ditemui itu dipercayai hanyut sejauh 17.7 batu nautika dari lokasi bot terbalik.

“Berdasarkan dokumen pengenalan diri yang dijumpai pada mangsa dipercayai sudah mati lebih dua hari, adalah warga Indonesia dan berusia 39 tahun.

“Mangsa disyaki seorang daripada tiga baki mangsa yang hilang dalam kejadian bot karam tempoh hari,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Nurul Hizam berkata, Op Carilamat masih diteruskan dengan sektor pencarian di laut merangkumi seluas 54 batu nautika persegi.

“Pencarian di pesisir pantai pula sepanjang 20 kilometer dengan pembabitan seramai 76 petugas dari pelbagai agensi.

“Agensi tersebut meliputi Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia/APMM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), selain Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) serta komuniti maritim,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here