Kerajaan PH Selangor perlu perbaiki kelemahan pengurusan banjir

0
2

Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi

RAKYAT Selangor khasnya di sebahagian besar dari sembilan daerah negeri ini teruk terjejas dengan bencana banjir yang melanda pada 18 Disember 2021 lalu.

Akibat purata taburan hujan luar biasa iaitu 380 mililiter pada hari berkenaan selain kesan air laut pasang besar, nyawa terkorban disamping turut musnah harta benda dan kemudahan infrastruktur rakyat.

Berdasarkan penerangan yang diberikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam sidang khas Dewan Rakyat 20 Januari 2022 lalu, ternyata pengurusan banjir di negeri ini cukup lemah dan kerajaan Pakatan Harapan (PH) bertanggungjawab untuk segera memperbaikinya demi memastikan bencana yang sama tidak berulang lagi di masa hadapan.

Kerajaan PH terbukti tiada perancangan yang komprehensif menghadapi kompleksiti banjir bandar (urban flooding) sebagaimana diutarakan oleh Perdana Menteri sehingga mencetuskan situasi kelam-kabut dengan pasukan penyelamat menghadapi kesukaran untuk menjalankan operasinya di hari pertama dan hari-hari berikutnya.

Pas Selangor kesal akibat kelemahan dan kegagalan ini rakyat yang terjejas telah menjadi mangsa dan terpaksa menanggung sengsara.

Perdana Menteri sendiri sebagaimana dijelaskan di Dewan Rakyat terpaksa mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Bencana Banjir Selangor membuktikan betapa lemah dan tidak bersedianya kerajaan negeri PH dalam menghadapi saat cemas itu.

Apapun biarlah bencana ini menjadi pengajaran kepada semua pihak khasnya kerajaan PH Selangor.

Langkah-langkah segera perlu diambil untuk mengatasi segala kelemahan yang digarasikan oleh Perdana Menteri termasuklah memperbaiki pengurusan dan komunikasi diperingkat negeri dan daerah.

Selain itu, kerajaan negeri khasnya pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu mengambil langkah drastik bagi mengurangkan risiko berulangnya bencana seumpama ini dengan memastikan saluran longkang monsun sentiasa diurus dengan baik dan tidak tersumbat dengan sampah-sarap.

Ini bukan masanya untuk menuding jari dan menyalahkan sesiapa, tetapi ini masanya untuk memastikan rakyat khususnya di Selangor tidak lagi menjadi mangsa akibat kecuaian dan kelemahan pentadbiran negeri.

Penulis ialah Pesuruhjaya PAS Selangor dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sijangkang.

(Artikel ini adalah pandangan peribadi penulis, tidak semestinya menggambarkan pendirian Malaysiapost).

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here