KEPUTUSAN meneruskan pengunaan SmartTag dan memberi pilihan kepada rakyat yang diarahkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah meredakan kesulitan pengguna lebuh raya.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Muhammad Razlan Rafii, berkata rakyat tidak boleh dibebani dengan kaedah pihak swasta yang mahu memaksa pengguna berpindah kepada Identifikasi Frekuensi Radio (RFID) dengan keuntungan yang melampau.
“Banyak syak wasangka terhadap tindakan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) dan Touch ‘n Go Sdn Bhd (TnG) apabila mahu menghapuskan SmartTag dan mahu mengantikan dengan RFID.
“Kempen dua tahun dijadikan alasan untuk TnG mengenakan bayaran RM35 terhadap setiap RFID, sepatutnya apabila jumlah pengguna lebuhraya PLUS diaktifkan, ada banyak cara boleh diteruskan pemberian percuma RFID,
“Boleh sahaja buat kempen berketerusan di Plaza-plaza tol untuk kempen kesedaran pengguna terhadap penggunaan RFID,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Razlan turut mencadangkan TnG meneruskan pemberian RFID percuma dan kempen dijalankan seperti biasa di semua plaza tol PLUS.
“Dapatkan data secukupnya berkenaan statistik penggunaan di plaza tol dan sekira baki pengguna SmartTag berbaki 10 peratus barulah boleh dicadangkan untuk melupuskan penggunaan SmartTag,” ujarnya lagi.
Katanya, ia kerana TnG adalah syarikat yang diberikan hak menjalankan perkhidmatan pembayaran oleh itu tidak sepatutnya pengguna perlu menanggung kos RFID.
Rabu lalu, Perdana Menteri menggesa pemegang konsesi tol supaya memberikan pilihan kepada pengguna jalan raya dalam penggunaan transaksi tol menggunakan RFID.
Ismail Sabri berkata, Kabinet berpendapat bahawa pengguna jalan raya mesti diberikan pilihan seperti waktu TnG diperkenalkan di mana pengguna dibenarkan membuat transaksi secara tunai di tol.
Katanya, kerajaan tidak mahu ada tekanan kepada pengguna jalan raya untuk menukar sistem transaksi sedia ada termasuk menukarkan semua lorong bayaran tol menggunakan sistem RFID. – Malaysiapost

