Penjualan tiket VTL Malaysia-Singapura dibuka semula bermula hari ini

0
2

PENJUALAN tiket bas dan penerbangan untuk Laluan Perjalanan Lengkap Vaksin (Vaccinated Travel Land (VTL)) Malaysia-Singapura dibuka semula berkuat kuasa serta merta pada hari ini.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata bagaimanapun buat masa ini kuota tiket yang dijual bermula 21 Januari akan dikurangkan daripada kuota sedia ada iaitu pengurangan 50 peratus daripada kapasiti bas dan penerbangan.

“Bagaimanapun bagi penumpang yang telah pun membeli tiket bagi tarikh perjalanan selepas 20 Januari 2022 sebelum pengumuman penggantungan jualan tiket dibuat, mereka dibenarkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan inisiatif ini mengikut kuota yang telah ditetapkan sebelum ini.

“Garis masa berhubung peningkatan kuota jualan tiket ini akan bergantung kepada penilaian risiko yang akan dilakukan dari semasa ke semasa secara berterusan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Khairy berkata, pengembara yang menggunakan platform VTL Malaysia-Singapura perlu melaksanakan ujian RTK-Antigen atau ujian pantas antigen (kendiri) pada hari kedua, empat, dan enam selepas ketibaan.

Manakala, pengembara juga perlu melakukan ujian RTK-Antigen atau ujian pantas antigen (professional) pada hari ketiga dan kelima selepas ketibaan.

Menurutnya, peraturan tersebut selaras dengan pengumuman KKM sebelum ini berhubung tindakan pengukuhan kepada langkah-langkah pencegahan dan kawalan sedia ada bagi pengembara dari luar negara.

“KKM ingin menyarankan semua pengembara supaya bertanggungjawab dan sentiasa mematuhi arahan serta prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan.

“Lakukan ujian pengesanan Covid-19 mengikut ketetapan yang digariskan bagi mengetahui status risiko diri sendiri dan seterusnya mampu mengurangkan risiko jangkitan kepada individu lain,” katanya.

Sebelum ini, penjualan tiket bas dan penerbangan skim VTL Malaysia-Singapura digantung sementara berkuat kuasa dari 23 Disember 2021 sehingga 20 Januari 2022.

Keputusan tersebut diambil berdasarkan penilaian risiko yang dilaksanakan berdasarkan situasi Covid-19 semasa di kedua-dua negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here