SIASATAN terperinci yang dijalankan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengenai dakwaan makanan di bawah Program Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dikatakan hanya nasi putih dan kuah, seperti yang tular adalah tidak benar.
Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin berkata pihaknya telah menerima maklum balas bagi perkongsian mengenai gambar yang didakwa sebagai makanan untuk murid di bawah RMT dan siasatan telah dijalankan.
“Wakil KPM telah turun ke sekolah terbabit untuk menjalankan siasatan terperinci mengenai dakwaan pemilik Facebook berkenaan.
“Siasatan mendapati gambar yang ditularkan itu bukan makanan yang disediakan untuk penerima RMT di sekolah,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, untuk makluman makanan bagi semua penerima RMT disediakan oleh pihak kantin untuk murid makan di sekolah sahaja.
“KPM mengucapkan terima kasih di atas keprihatinan semua pihak berhubung perkara ini. KPM sentiasa berusaha menambahbaik program RMT, termasuk dalam penyediaan makanan dan bekalan susu untuk penerima RMT.
“Buat masa ini, pemberian susu kepada murid RMT telah ditambah daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan mulai tahun 2021,” katanya.
Terdahulu tular di laman Facebook dakwaan penerima RMT sebuah sekolah dikatakan hanya diberikan nasi putih dan kuah sahaja di sekolah. – Malaysiapost

